Zon pembangunan Wilayah_Ekonomi_Koridor_Utara

NCER akan terbahagi kepada 5 zon iaitu :

  1. Koridor pulau
  2. Koridor pesisiran pantai
  3. Koridor tengah
  4. Koridor pedalaman
  5. Koridor Butterworth-Kulim-Baling-Pengkalan Hulu-Grik.

Koridor Pulau

Koridor Pulau yang dimaksudkan ialah Pulau Pinang dan Pulau Langkawi. Pulau Pinang akan menyaksikan pembinaan terminal bersepadu, Penang Sentral dan pelancaran perkhidmatan pengangkutan bas awam, RapidPenang.

  • Lapangan terbang antarabangsa Bayan Lepas, Lapangan terbang Langkawi dan pelabuhan laut akan dipromosi kepada aktiviti pelancongan dan pengedaran perkhidmatan. Pelancongan perubatan akan dimantapkan terutama untuk kerjasama IMT-GT dan rantau lain di dunia.
  • Universiti Sains Malaysia akan memainkan peranan sebagai pusat pendidikan mikro dan aktiviti pembuatan E&E.
  • Pulau Pinang dan Seberang Prai akan kekal sebagai pemacu logistik utama Koridor Utara. Perkhidmatan pergi-balik dari Seberang Prai ke Pulau Pinang dapat dipertingkatkan dengan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Koridor Pesisiran Pantai

Koridor Pesisiran Pantai meliputi pintu masuk Padang Besar di Perlis, Arau, Sintok, Kuala Muda dan Kuala Kedah, Yan, Butterworth, Nibong Tebal, Simpang Empat dan Bagan Serai di Perak.

  • Bandar-bandar Kuala Muda dan Kuala Kedah akan menumpukan perhatian kepada perikanan, terutama sekali perikanan laut dalam dan aktiviti pemprosesan makanan laut. Pelancongan pesisiran pantai dan aktiviti-aktiviti akuakultur laut akan ditonjolkan di kampung nelayan dan bandar yang lebih kecil.
  • Bandar Yan akan digunakan sebagai kompleks petrokimia untuk Koridor Utara. Rancangan awal adalah untuk membina kilang penapis petroleum dan kemudahan simpanan di kawasan tersebut. Ke arah selatan, Butterworth mengambil peranan sebagai pintu masuk logistik perkapalan utama untuk ke Koridor Utara.
  • Koridor ini mengunjur melalui Nibong Tebal, Simpang Empat dan Bagan Serai yang pada umumnya merupakan pusat-pusat berasaskan pertanian.

Koridor Tengah

Koridor Tengah termasuklah Lebuh raya Utara-Selatan dari Bukit Kayu Hitam hinggalah ke Ipoh di Perak.

  • Ciri utama Koridor Tengah ialah Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu lebuh raya yang merentasi dari bandaraya Ipoh di selatan ke Bukit Kayu Hitam di utara iaitu sebuah pekan yang berkongsi sempadan dengan selatan Thailand. Aktiviti utama adalah koridor pembuatan dari Butterworth/Kulim ke Gurun.
  • Sub-sektor E&E dan pemasangan automotif kekal sebagai aktiviti-aktiviti pembuatan di zon ini. Kamunting merupakan satu lagi kelompok perusahaan terutamanya untuk perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang terlibat dalam membekalkan syarikat-syarikat E&E atau perniagaan tani hiliran.
  • Koridor Tengah dijangka akan diperkukuhkan dengan cadangan projek landasan kereta api berkembar dan perkhidmatan komuter serta pelebaran jalan di beberapa kawasan menghala ke pelabuhan dan lapangan terbang.
  • Pertanian akan menjadi aktiviti utama yang akan dipromosikan di sekitar Lebuh Raya Utara-Selatan terutama sekali ke arah kawasan pedalaman. Estet-estet industri yang kurang digunakan akan ditukar menjadi taman-taman pertanian bagi produk-produk premium seperti pengeluaran ikan hiasan, florikultur, pengeluaran benih yang diperakui dan kelompok-kelompok pemprosesan makanan.

Koridor Pedalaman

  • Koridor Pedalaman bermula dari Kota Putra dan berakhir di Kuala Kangsar. Aktiviti-aktiviti utama adalah pertanian yang meliputi tanaman komersil (getah dan kelapa sawit), estet-estet buah-buahan dan penternakan haiwan.
  • Koridor ini akan menganjurkan zon pengeluaran makanan berasaskan kepada lanskap pertaniannya yang bersesuaian.
  • Sebahagian besar kawasan ini merupakan hutan asli yang kritikal untuk keperluan kawasan air tawar Koridor Utara. Kawasan ini akan dipelihara dan dipromosikan sebagai tarikan eko-pelancongan.
  • Koridor Pedalaman juga menjadi pintu masuk kedua ke selatan Thailand, terutama sekali Pengkalan Hulu.
  • Aktiviti-aktiviti pelancongan akan dipromosikan di sini dan di sepanjang tanah tinggi di Tasik Pedu. Ini akan diperkukuhkan dengan pelurusan, pelebaran dan pembinaan lebuh raya pedalaman Trans-Kedah.
  • Kerja-kerja peluasan jalan yang menghubungkan Grik-Jeli merupakan satu lagi langkah strategik yang penting dalam pengembangan perdagangan dengan Kelantan dan Koridor Timur.
  • Dirancangkan bahawa jalan perhubungan akan pada mulanya dinaik taraf, diikuti dengan pembinaan landasan kereta api yang baru sebaik sahaja perkhidmatan lalu lintas barangan dan perkhidmatan meningkat.

Koridor Butterworth-Kulim-Baling-Pengkalan Hulu Grik

  • Koridor ini menghubungkan pusat logistik Butterworth kepada kelompok perusahaan utama di Kulim.
  • Dalam jangka masa yang panjang, koridor ini dijangka memainkan peranan penting dalam pembukaan Koridor Kelantan dan Timur melalui pengukuhan jalan Grik-Jeli dan/atau pembinaan landasan kereta api.
  • Jalan-jalan besar Timur-Barat di sepanjang koridor ini akan dipertingkatkan untuk memperbaiki hubungan Timur-Barat.